AMBIL TAHU UNTUK JANGKA MASA LAMA YANG KITA INGINKAN
Kesan pengambilan gula yang berlebihan
Di Malaysia, makanan yang tinggi dengan gula bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Minuman manis mudah didapati dan diambil dengan hampir semua hidangan. Minuman seperti teh ais, kopi, milo dan sebagainya menjadi kegemaran buat si kecil mahupun orang dewasa.
Apa yang lebih merisaukan adalah minuman manis yang kaya dengan gula ini lazimnya diambil dengan hidangan yang turut kaya dengan kalori daripada gula dalam bentuk berbeza -nasi. Nasi adalah polimer kompleks bagi gula atau lebih tepat lagi, karbohidrat. Ianya merupakan makanan ruji di Malaysia, mendominasi sebahagian besar pinggan-pinggan hidangan di negara ini. Dalam satu hidangan bersertakan satu minuman sahaja, sebahagian besar keperluan kalori harian seseorang itu telahpun dipenuhi.
Akibat daripada tabiat mengambil makanan yang tinggi dengan kalori daripada gula atau karbohidrat, ianya menyebabkan badan seseorang itu terus menerus membawa dan mengumpul kalori yang berlebihan dan juga simpanan gula (glukosa) yang tinggi dalam badan.
Apabila gula dimakan dan dihadam, 4 kilo kalori tenaga dihasilkan untuk setiap satu gram gula mudah. Penghadaman karbohidrat bermula di mulut – di peringkat mulut, enzim amylase akan dikeluarkan oleh kelenjar-kelenjar air liur di sekitar bahagian dalaman mulut manusia. Proses pemecahan gula kompleks kepada gula yang lebih pendek dan asas ini berlaku melalui penguraian ikatan glikosida antara unit-unit gula. Penghadaman gula ini berlaku dengan tidak lengkap dan akan disambung semula apabila bahan makanan sampai ke bahagian usus kecil. Di dalam bahagian awal usus kecil, turut dikenali lebih tepat lagi sebagai Duodenum, enzim amylase dikeluarkan oleh struktur pankreas dan bertemu dengan bahan makanan, menghadam dengan lebih lanjut gula yang terdapat di dalamnya.
Pengambilan karbohidrat yang banyak mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ianya digunakan. Oleh sebab itu, atlet profesional mengambil karbohidrat yang banyak bagi membekalkan badan mereka dengan jumlah tenaga yang tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga harian mereka. Namun yang demikian, rakyat Malaysia rata-ratanya mengamalkan gaya hidup sedentar walaupun mereka mengambil jumlah karbohidrat dan gula yang tinggi. Apabila kandungan gula berlebihan dalam badan berlaku, terdapat beberapa proses yang akan berlaku bagi mengawal paras gula dalam darah. Antaranya ialah proses glikogenesis (penghasilan glikogen). Glikogen ini adalah gula dalam bentuk simpanan. Organ yang banyak bertanggungjawab dalam melaksanakan proses ini adalah organ hati. Glikogenesis hati menyumbang kepada penurunan paras glukosa dalam darah. Hormon yang paling penting dalam pengawalan kepekatan glukosa dalam plasma darah adalah insulin. Insulin yang terikat pada reseptor spesifik pada permukaan sel dalam tisu adipos dan otot, meningkatkan kadar kemasukan glukosa ke dalam sel-sel ini.
Proses seterusnya dalam membantu mengawal kandungan gula berlebihan dalam darah adalah pembentukan lemak. Seperti yang dinyatakan di atas, reseptor untuk insulin boleh didapati pada permukaan tisu adipos (tisu lemak). Ini bermakna ianya juga boleh mengambil gula lebihan untuk disimpan. Dalam usaha untuk menurunkan paras gula dalam darah, gula lebihan akan diproses menjadi suatu struktur yang dikenali sebagai asetil coA. Asetil coA adalah bahan binaan asas yang digunakan untuk membina tisu lemak sekali gus menambah bilangan lemak pada badan seseorang.
Pertambahan glukosa susulan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi dan dalam jangka masa panjang, akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil. Selain itu, ianya juga boleh menyebabkan rintangan insulin. Susulan daripada pengambilan gula berlebihan dan rintangan insulin ini adalah penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). Tambahan lagi, pengumpulan lemak berlebihan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mendapat penyakit obesiti. Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini juga dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung.
Sebagai konklusi, trend kesihatan belum tentu mempunyai asas saintifik yang kukuh. Oleh yang demikian, berhati-hati apabila anda mendengar dakwaan kesihatan tertentu tentang sesuatu dan lakukan bacaan daripada sumber ilmiah yang sahih.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
Artikel Oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
Kredit : Hello Doktor
Comments
Post a Comment