PSORIASIS YANG RAMAI TAK TAHU

Dianggarkan dua peratus populasi penduduk dunia menghidap psoriasis. Di Malaysia, seramai 14,486 orang dilaporkan menghidap penyakit ini (data Registri Psoriasis Malaysia 2007-2015). Psoriasis adalah sejenis penyakit kulit yang berpanjangan dan berulang.

Ia terjadi berikutan gangguan sistem imun badan yang menyebabkan pertumbuhan sel-sel kulit lebih cepat iaitu tiga hingga tujuh hari berbanding 21 hingga 28 hari dalam keadaan biasa.

Proses ini menyebabkan sel-sel bergerak ke atas kulit dengan cepat seterusnya menjadikan kulit muncul sebagai tompok-tompok merah dengan sisik yang tebal dipermukaan kulit.

Selain kulit tubuh dan anggota badan, penyakit ini juga membabitkan kulit kepala, kuku dan sendi. Saluran darah di bawah kulit juga menjadi lebih lebar lalu meningkatkan aliran darah. Peningkatan bekalan darah menyebabkan tompok merah jelas kelihatan.

Pakar Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Azura Mohd Affandi berkata, psoriasis adalah penyakit keradangan kulit kronik yang menyebabkan kulit menebal lebih cepat.

“Psoriasis adalah penyakit yang setakat ini tiada penyembuh, namun rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Ia berlaku disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu atau bapa menghidap penyakit ini, kebarangkalian anak mendapat penyakit berkenaan adalah lebih tinggi.

“Bagaimanapun, anda juga boleh menghidap penyakit psoriasis walaupun tiada sesiapa dalam keluarga yang menghidap penyakit itu. Kawasan yang biasa dihidapi adalah kulit kepala, lutut, siku, lengan dan kaki. Sehingga kini, punca psoriasis masih tidak diketahui,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Psoriasis Malaysia di HKL baru-baru ini.

Menurutnya, psoriasis tidak berjangkit. Namun, sejarah keluarga yang positif psoriasis meningkatkan risiko seseorang mendapat psoriasis.

Kira-kira 40 peratus daripada pesakit psoriasis mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit berkenaan meskipun data daripada Registri Psoriasis Malaysia 2007 hingga 2015 menunjukkan jumlah penghidap yang disebabkan sejarah keluarga lebih rendah iaitu sebanyak 23 peratus.

Mengulas mengenai bahaya psoriasis, Dr Azura memberitahu, penyakit itu membawa kesan negatif kepada psikologi pesakit. Faktor lain menjadi penyebab psoriasis bertambah buruk termasuk tekanan perasaan, pengambilan alkohol berlebihan, jangkitan kuman, kecederaan kulit dan tindak balas ubat-ubatan tertentu seperti ubat darah tinggi, ubat tahan sakit dan antibiotik.

“Tahap keterukan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke keseluruhan permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok tebal dan bersisik dikenali sebagai plak psoriasis.

“Seterusnya kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang serta mengakibatkan sisik di permukaan kulit. Ia sering terjadi di bahagian siku, lutut, tetapi juga boleh terjadi di mana-mana bahagian badan, termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan,” katanya


http://www.hmetro.com.my/node/160618

Comments

Popular posts from this blog

VITAMIN C SEMULAJADI

KHASIAT MADU YANG BAIK UNTUK TUBUH BADAN MANUSIA

PERTOLONGAN ALLAH DATANG PADA WAKTU YANG TEPAT